Thursday, December 11, 2008

Isteri Setia Obor Kebahagiaan Rumah Tangga

Oleh Zahari Hasib

SESUAI dengan sifatnya yang lembut, pengasih dan penyayang, wanita adalah pelengkap kepada kehidupan lelaki sesuai dengan pendapat mengatakan di sisi lelaki yang berjaya berdiri di belakangnya seorang perempuan.

Wanita dari perspektif Islam sewajarnya memelihara diri daripada sifat tercela, perlakuan tidak sihat yang menyalahi tata susila. Sifat wanita dijadikan sebagai seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa, pengasih serta penyayang dengan naluri keibuan.


Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai nabi, katakanlah kepada isteri dan anak perempuan kamu serta isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka, yang demikian itu tujuannya ialah untuk mereka lebih mudah dikenali serta tidak diganggu.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar dari rumah dia akan ditunggu oleh gerombolan syaitan.”

Perubahan yang berlaku memperlihatkan wanita sekarang ramai yang keluar bekerja untuk membantu suami serta menyumbang kepada pembangunan negara dan mereka mampu menjaga kehormatan diri.

Sesungguhnya bagaimana hebatnya kerjaya seorang wanita tetapi apabila berada di rumah, mereka perlu memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu selain memastikan diri tidak melakukan perkara menyalahi syariat.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seandainya Tuhan memerintahkan supaya manusia itu sujud kepada sesama manusia, maka nescaya Aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suami.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Apabila seseorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa Ramadan dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari sebarang pintu yang ia kehendaki.”

Sesungguhnya isteri yang setia adalah sebesar-besar perbendaharaan untuk suami dan ibu yang pengasih serta penyayang menjadi obor kebahagiaan yang tinggi nilainya bagi anak.



Syair Arab menyebut: Ada tiga perkara yang boleh membawa kebahagiaan, rumah yang lapang, kereta yang tidak rosak dan isteri yang setia.

Diriwayatkan oleh Muslim, “Dunia ini adalah perhiasan dan harta benda, maka sebaik-baik perhiasan dan harta benda itu ialah isteri yang salihah.”

Tanggungjawab wanita penting kerana selain perhatian kepada keluarga mereka juga adalah tenaga kerja yang banyak memberi sumbangan kepada negara. Yang pastinya, kedudukan itu menjadikan mereka memikul amanah berat yang perlu dilaksanakan.

Justeru, bagi memastikan semua amanah serta tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik, wanita perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah yang banyak memberi panduan bagaimana seharusnya tugas itu dipenuhi untuk mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Itulah kuasa wanita dan jika terbabas dari landasan, kuasa wanita juga boleh menjurus kepada kemusnahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila baik akhlak wanita sesuatu bangsa maka baiklah masyarakatnya tetapi apabila buruk akhlak wanitanya maka akan rosaklah sesuatu masyarakat dan bangsa itu sendiri.”

Menyorot keadaan yang berlaku hari ini, banyak gejala negatif membabitkan maruah wanita berlaku seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hubungan seks luar nikah, pengguguran anak serta pembuangan bayi yang kesemuanya disabitkan kepada wanita.

Penghayatan nilai Islam boleh menjadi benteng berkesan dan pada masa sama, kegiatan dakwah terutama kepada golongan hawa terdiri daripada mereka yang muda remaja perlu dipertingkatkan supaya mereka tidak terus hanyut dengan godaan dunia.

Wanita yang menjadi teman lelaki boleh menjadi musuh atau sebab kemusnahan lelaki kerana mereka mempunyai keistimewaan untuk mencairkan iman serta kewarasan lelaki hingga tergelincir daripada jalan diredai Allah.

Dalam perjalanan ke langit dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW tiba-tiba terdengar suara perempuan yang memanggilnya dari arah belakang, ketika Baginda hendak berpaling ke arah suara halus itu maka Jibril menampar muka Baginda sehingga terpaling lalu Jibril berkata: “Jangan pedulikan suara itu! Nabi SAW bertanya kepada Jibril: Kenapa dengan suara itu? Lalu Jibril menjawab: Itulah perempuan dan itulah dunia.”

sumber:Berita Harian.

No comments: