Wednesday, June 30, 2010

Tips Memilih Permainan Anak-anak

Memang jelas permainan memberikan kesan positif untuk pembelajaran anak-anak, walau bagaimana pun dalam konteks yang lain permainan ada juga memberikan kesan yang buruk kepada anak-anak sekiranya kita salah memililh dan tidak membuat pemantauan.



Mungkin tips di bawah boleh kita ikuti bagi mengelakkan kita terjebak dalam permainan yang negatif :

1. Pilih permainan yang tepat
Ini peranan terpenting untuk ibubapa. Ibubapa perlu bijak memilih permainan yang sesuai untuk mereka. Anak lelaki perlu dihindarkan dari permainan yang ada elemen permainan anak perempuan.. begitu juga sebaliknya. Pilihlah permainan yang tepat untuk mereka mengikut jantina, usia dan perkembangan semasa mereka.

2. Permainan yang tidak membahayakan
Semestinya ibubapa perlu memilih permainan yang selamat dan tidak membahayakan anak-anak. Cuba elakkan permainan yang tajam dan boleh melemaskan seperti plastik.

3. Kita sama2 bermain dgn mereka
Seeloknya ibubapa perlu bersama-sama anak-anak ketika mereka bermain kerana kala ini boleh kita terangkan pada mereka apa yang baik dan apa yang buruk. Bukan bermakna 24 jam bersama mereka, tetapi cuba luangkan sedikit waktu tatkala mereka bermain supaya kita sentiasa menjadi sumber rujukan mereka.

4. Terapkan elemen kasih sayang
Ibubapa yang pintar akan menerapkan elemen kasih sayang dalam permainan anak-anak. Jadi kita perlu kreatif supaya mereka kenal erti kasih sayang walaupun ketika mereka bermain santai. Moga anak kita akan membesar dengan penuh elemen kasih sayang dan menjadi insan yang positif.

5. Perkenalkan permainan dgn watak-watak positif
Perkara penting yang mungkin kita lupa ialah sewaktu memilih permainan.. pilihlah watak-watak yang positif. Elakkan memilih watak-watak yang kurang ajar, malas, tidak berdisiplin dan lain-lain lagi watak yang negatif. Kita tidak boleh main beli jer sesuatu permainan tu tanpa memikirkan impak kepada anak-anak kita sendiri.

http://littlemishkah.blogspot.com/

Saturday, June 26, 2010

Kepulangan Ustaz Redza






Assalamualaikum kepada semua pengunjung yang budiman semoga dirahmati Allah sekelian.Pada hari Jumaat yang lalu seorang ahli Ubm,Ustaz Redza telah pulang ke tanah air. Beliau merupakan mahasiswa Kuliah Al-Quran.



Semoga dengan kepulangan beliau ke tanah air membantu gerak kerja dakwah kepada umat, Insya Allah.

Friday, June 25, 2010

Ibu Bapa Nakhoda Kehidupan Anak

"Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil".
Al Baqarah : 67

Al-Quran sering kali di anak tirikan oleh umat islam. Mereka hanya memandang enteng akan kepentingan al-Quran. Al-Quran hanya sekadar hiasan di setiap penjuru rumah.

Kamus bergambar bertukar tangan, tanda penghargaan daripada si bapa sempena lulusnya anak di medan peperiksaan. Kalaulah kamus comel itu digantikan dengan al-Quran yang terjamin akan kesuciannya, sudah tentu mendapat keberkatan daripada Ilahi.

Tapi masa sekarang sudah berubah!. Tika dahulu anak kecil diasuh mengenal huruf-huruf hijaiyah, Muqaddam dihafal setiap kali menjelang maghrib, bagaikan menutup tirai senja.

Teringat cerita semalam, di tangan Tok Guru tersedia rotan yang panjang, gerun kami melihatnya. Kiranya tersalah, maka dirotannya kami. Begitulah peritnya menuntut ilmu yang tiada tandingannya.

Namun kini, cerita semalam hanya tinggal kenangan. Parut dan luka lama menjadi sejarah dalam kamus hidupku.


“Tahun ni Amirul UPSR lah Kak Nah, jadi berhenti sekejap mengaji dan kelas fardhu ain. Senang sikit. Boleh beri tumpuan pada UPSR. Maklumlah, tahun depan katanya nak ke MRSM.”

Sedih bukan! Apabila dunia menjadi keutamaan, akhirat dilengah-lengahkan. Semakin kita mengejar kemewahan, terasa bagaikan nilai keimanan luntur dalam sanubari. Manusia rakus mengejar arus kemodenan yang tidak pasti akan hentinya. Bagi saya itulah kesan kejahilan. Jahil bukan masalah kecil. Tapi sentiasa dikecil-kecilkan. Bagaikan tidak nampak di mata kita.

Apabila si anak tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, maka si ayah dan si ibu akan berasa malu mempunyai anak seperti ini. Sedangkan berapa ramai graduan universiti yang tidak layak bergelar sebagai manusia, jahilkah mereka? Mereka yang hebat dari sudut akademik namun tidak pada agama. Bak kata Saiful Islam yang dipetik dari blognya “...(mafhumnya) kita bukan mahu anak kita menjadi orang agama, tapi cukuplah sekadar orang yang beragama.”

Segala-galanya bermula daripada rumah, teringat akan pesanan Lukman al-Hakim kepada anaknya:

“Wahai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH."

Daripada riwayat A-Bukhari dan Muslim, Rasulullullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah.

Ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Setiap anak yang dilahirkan suci akan sifatnya. Tiada noda-noda dosa, apatah lagi tompok hitam. Di sinilah bermulanya peranan ibu bapa dalam menzahirkan syariat Islam ke atas seseorang anak. Supaya anak-anak itu menjadi seorang insan yang sempurna akan akhlaknya dan tidak menyekutukan Allah.

Sunday, June 20, 2010

Perkahwinan

Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin.

Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat.

Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi jika cinta yang didasari hawa nafsu semata-mata dan hanya cinta monyet.Adakah hubungan tersebut akan membawa kita ke jinjang pelamin yang berpanjangan?

Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah Taala dan RasunNya sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas demi menyambung mata rantai perjuangan islam.


Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak.

Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seorang permaisuri sebagai pasangan hidup.

Islam menegaskan bahawa pilihan hendaklah berasaskan kepada mereka yang kuat agamanya dan berakhlak mulia serta beberapa kretiria-kretitia yang lain.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Janganlah kamu berkahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikanmu. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakaimu,tetapi kahwinilah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang hamba perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik."

Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calon isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.


(Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya ialah:)



1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahNya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.

2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.

3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.

4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.

5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.

*** Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. Seseorang wanita yang kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi.

Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar.

Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r. a:

"Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya."

Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat- sifatnya oleh Rasulullah saw:

"Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya."

Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami jika ia memiliki isteri yang solehah.

Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mngukuhkan persaudaraan Islam.

Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak yang tidak sihat dan lembab otak.

Tujuan digalak berkahwin dengan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.

http://al-keterehi.blogspot.com/

Friday, June 18, 2010

Berhati-hati

Us Majdi Zakaria..... Ketua Unit Hisbah PMRAM Pusat
sumber : blog hisbah (link)

Kepada semua mahasiswa yang berada dibumi mesir agar dapat mempertingkat keselamatan kita semua kerana sejak akhir-akhir ini banyak ganguan telah berlaku,kes terbaru berlaku dibumi Zagazig tentang perlakuan Arab yang tidak senonoh cuba melakukan ganguan seksual terhadap mahasiswi perubatan.

Apa yang penting ialah kita cuba bertindak dengan keadaan berikut:-

 Sila bergerak kearah tempat yang selamat

 Elakan keluar seorang diri walaupun keadaan terdesak

 Jangan panik ketika keadaan kecemasan berlaku

 Banyakan selawat tafrijiah dan lain-lain amalan agar kita tidak alpa

 Sila hubungi Pesiden ,Pengerusi PMRAM cawangan atau mana-mana wakil Hisbah dengan segera mengikut keadaan tempat

Memandangkan musim panas telah pun berada dipermulaanya keadaan orang-orang Arab lebih agresif pada waktu ini berbanding dengan musim sejuk.Keadaan kita juga tertekan dengan hampirnya imtihan jadi jagalah dan hargailah diri anda in sya Allah.Gunalah khidmat musrif sepenuhnya dengan apa yang telah diaturkan oleh BKAN dan DPM masing-masing.

Akhir kata kita sama-sama berdoa agar semuanya berada dalam keadaan selamat in sya Allah doa adalah senjata bagi kita. Mungkin ini adalah dugaan dan hikmah bagi kita memandangkan keadaan masalah sosial dikalangan ahli kita semakin parah. Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberikan hidayah kepada mereka yang tidak endah dengan keadaan sekeliling dan masih lagi melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Usaha dan doa perlu seiring jangan kita hanya seronok menjadi muhtasib tanpa kita memohon pertolongan daripada Allah insya Allah

Wassalam

Sunday, June 13, 2010

Thoyyib Darwisy B Mohamad Norhafeez

Jamuan semperna hari ke tujuh Thoyyib Darwisy B.Mohamad Norhafeez


Di antara ikhwah yang hadir di Imarah Darul Takwa,jamuan akhawat di rumah ustaz Hafeez.

Ustaz Norhafeez disamping anak dan sahabat yang hadir

Alhamdulillah, sempena hari ketujuh kelahiran anak pasangan Ustaz Norhafeez dan Siti Noorul Aini, mereka telah mengadakan sedikit jamuan pada Ahad, 13 Jun 2010. Semoga anak mereka yang diberi nama Thoyyib Darwisy b Mohamad Norhafeez menjadi anak soleh dan pembela agama.

Tuesday, June 8, 2010

Perbezaan Suami & Isteri: Selesaikan Melalui Kefahaman

Memahami perbezaan sikap pasangan bukanlah satu formula terunggul untuk mencapai kebahagian dalam sesebuah rumahtangga. Namun ia boleh berfungsi untuk mengurangkan stress dan tekanan kepada pasangan.




Telah tiga kali, saya diminta untuk mengulas perihal formula kebahagiaan rumah tangga sepanjang berada di United Kingdom. Kali pertama di Ireland, kali kedua di Cumbria, sempena Kem Mithali anjuran komuniti Malaysia Manchester and terbaru di Sheffield pada 5 Jun 2010. Saya akui, saya bukanlah seorang yang specialist di dalam bidang ini walau telah berumahtangga selama 11 tahun. Walaupun begitu, mungkin atas kapasiti saya selaku seorang pendakwah dan berpendidikan agama, saya tidak henti-henti menerima email dan soalan berkaitan masalah rumah tangga, sebahagiannya tidak melibatkan hukum sama sekali. Ia hanya melibatkan kefahaman kaedah, teknik dan cara melayari bahtera rumahtangga.



Ada yang datang dari suami dan juga isteri, saya kira telah beberapa kali para suami yang menghubungi saya, menangis teresak-esak sewaktu menceritakan masalah berkaitan rumahtangga khususnya yang berkaitan dengan sikap isterinya. Ia adalah satu situasi yang sukar buat saya kerana saya bukanlah pakar bidang kaunseling rumahtangga.



Apapun, keadaan sebegitu mampu memberikan saya gambaran dan keadaan rumahtangga di Malaysia. Jika ketidakstabilan rumahtangga sebegitu berterusan, ia bakal menghasilkan anak-anak yang membesar dalam keadaan pincang dan serba kekurangan.



Menyedari kepentingan kestabilan rumahtangga, dari semasa ke semasa saya dan isteri berusaha memperuntukkan sedikit waktu untuk berfikir, meneliti rumah tangga sendiri, membaca buku berkaitan dan seterusnya menghasilkan cadangan-cadangan dan ulasan bagi manfaat ramai.



Sebagai salah satu usaha bagi mengurangkan tekanan dari kedua-dua belah pihak, suami dan isteri, melalui artikel ini, saya cuba memberikan fokus kepada kepentingan memahami perbezaan sifat lelaki dan wanita. Fikiran dan kehendak seorang lelaki dan wanita ada yang sama dan yang berbeza. Apabila tidak memahami perkara yang berbeza, ia akan sangat mudah mencetus sangka buruk, rasa disisih dan sebagainya.



FUNGSI RUMAHTANGGA



Dalam kesempatan yang amat terbatas ini, saya akan membawakan empat isu terlebih dahulu, sekadar mencuba-cuba memberi sedikit pembuka minda buat insan yang bergelar suami dan isteri dalam melayari rumah tangga mereka. Agar kita semua mampu menepati objektif sebuah rumahtangga yang digariskan oleh Allah swt iaitu :-



وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasanganmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ( Al-Rum : 21)



Berdasarkan rujukan saya dari huraian para ulama silam di dalam kitab-kitab tafsir, dapat saya simpulkan dari ayat di atas, antara fungsi rumahtangga yang MESTI diusahakan oleh kedua-dua pasangan adalah untuk menjadikannya sebagai :-



1) Litaskunu Ilayha

= Tempat merasa tenteram, kerehatan dan ketenangan. Faktor terkuat untuk menghasilkan aspek ini adalah individu di dalam rumah itu sendiri. Walau rumah sebesar dan sehebat mana pun binaannya, tanpa ahli rumah yang berkualiti, rumah tetap tidak mampu menghilangkan masalah.

2) Mawaddah wa rahmah

= tempat emosi dan perasaan belas, kasih sayang dan cinta dipupuk. Maka adalah tanggung jawab pasangan untuk sentiasa memperbaharui kasih dan sayang mereka di antara satu sama lain. Itulah salah satu huraian yang diberikan oleh Sahabat Nabi, Ibn Abbas r.a apabila beliau berkata :

المودة حب الرجل امرأته

Ertinya : Mawaddah itu adalah kasihnya seorang suami terhadap isterinya ( Tafsir Al-Qurtubi)

Justeru mempelajari caranya juga merupakan satu tuntutan, menzahirkannya kepada pasangan juga merupakan sebuah tuntutan.

= Saling ambil berat atas kebajikan, perasaan, kerungsingan. Tabiat natural manusia cenderung kepada keinginan seseorang untuk mengambil berat tentang dirinya. Justeru, ini adalah antara item penting yang mesti diwujudkan di dalam sebuah rumahtangga. Wajib ke atas kedua-duanya, suami terhadap isteri dan begitu juga sebaliknya. Sahabat nabi, Ibn Abbas r.a menjelaskan

الرحمة رحمته إياها أن يصيبها بسوء

Ertinya : Al-Rahmah itu adalah belasnya dan ambil tahunya seorang lelaki ke atas isterinya apabila dia ditimpa kesusahan dan keburukan. ( tafsir Al-Qurtubi)



= Imam Ibn Abbas r.a dan Mujahid pernah menerangkan bahawa Mawaddah bermaksud Jima' manakala rahmah itu adalah anak. Hasilnya, nafqah batin dan kepuasan suami isteri melaluinya adalah crucial di dalam sebuah rumahtangga. Kehadiran anak pula juga merupakan satu objektif perkahwinan yang dibanggai Rasulullah. Namun bagi yang belum mendapat rezeki itu, banyakkan berdoa dan teruskan usaha.

ADUAN & PERLU FAHAM

Bagi mencapai target rumahtangga yang disebut oleh Allah ta'ala, bibit masalah yang kerap menjadi punca awal membawa penceraian, hilang cinta dan kasih perlu ditangani. Antara punca awalnya boleh dilihat dalam beberpa aduan pilihan di bawah. Ia dikutip hasil dari beberapa aduan yang saya terima dan juga pembacaan. Saya gariskan cadangan dan apa yang perlu difahami oleh suami dan isteri dalam menghadapi aduan dan pertikaian mulut pasangan.

RUNGUTAN 1

ISTERI : Dia duduk di depan TV sedangkan aku buat segalanya, aku bukan maid. Dia hanya bantu bila aku minta, tak bolehkah proaktif seperti aku?


SUAMI : Dia ingin semuanya dibuat serentak sekarang. Rehatlah dulu. Dia mengharapkan aku menjadi pembaca mindanya selalu

YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Wanita sekadar meluah kepanikannya terhadap sekeliling, dia sebenarnya perlukan teman ketika mengemas agar hati gembira, badan sihat.

· Bantulah sekadarnya atau yakinkan isteri untuk berehat terlebih dahulu, namun perlu ajaknya sekali dan jangan terus berehat sendirian & membiarkannya bekerja.

· Sekali sekala, buat kejutan dengan mengemas seluruh rumah bersih secara mengejut (i.e basuh baju, sidai, basuh pinggan dsbgnya).


WANITA FAHAM

· Lelaki akan memberi seribu satu macam justifikasi untuk berehat. Fahamilah kerehatan mampu memberi kestabilan minda dan tubuh kepada diri suami, mengurangkan risiko marah tidak bertempat. Bukankah ia baik untuk isteri dan anak-anak?

· Justeru, buatlah apa yang disukai dahulu & itulah tanda lelaki ingin merasakan rumah sebagai tempat berehat & bertenang.

· Adakalanya dia juga tidak ingin menganggu kepakaranmu, dibimbangi menjadi beban kerana ketidaksempurnaan kerjanya. Itu boleh jua menjadi tanda kasihnya kepadamu.

RUNGUTAN 2

ISTERI : Bila aku bercakap kepadanya, dia sering menganggu atau memberi penyelesaian

SUAMI : Setiap tungkus lumus idea aku tidak dihargainya malah ditambah komplennya.


YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Fahamilah, bahawa wanita dalam banyak kebarangkalian dan keadaan, mereka bercerita masalahnya sekadar untuk melepas bebanan dan bukan mencari penyelesaian segera. Justeru, jadilah pendengar yang baik.

· Dia juga suka bercakap masalahnya bagi meraih simpati dan kasih suami terhadapnya. Tunjukkan simpati. Namun cuba elak buat sementara sebarang penyelesaian melalui lafaz, dan banyakkan response melalui sentuhan.


WANITA FAHAM

· Lelaki kerap ingin menjadi hero dan juara dalam bidangnya, khususnya di hadapan wanita. Kerana itu dia sering menyampuk sebagai tanda ambil seriusnya dia terhadap masalahmu dan ingin segera menyelesaikannya.

· Respons dan berterusan dengan wajah kurang senang selepas cadangannya dibuat akan boleh disalah tanggap sebagai merendahkan kewibawaannya.


RUGUTAN 3

ISTERI : Bila dia bercakap, terus menerus dan langsung tidak berminat untuk mendengarku bercakap." Tak pandang kita pun."

SUAMI : Aku memang mendengar, walau mata melihat kepada perkara lain. Aku sudah bantu dengan pelbagai cadangan penyelesaian namun dia masih tidak puas hati.

YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Wanita lebih rasa dihargai apabila kita melihat dengan tepat ke matanya dan menunjukkan reaksi wajah.

· Justeru, walau rasa kurang selesa dengan cara itu, ambillah hatinya.

WANITA FAHAM

· Sebahagian lelaki tidak suka memandang tepat di wajah isteri khususnya apabila isteri membangkitkan masalah dalam rumahtangga mereka.

· Kerana setiap ungkitan itu dianggap mencabar wibawa dan egonya. Justeru fahamilah jika dia senyap semasa anda bercakap dan memberikan luahan, itu sudah memadai sebagai tanda dia mendengar dan berfikir walau dia tidak memandang mata dan wajahmu.

· Lelaki juga adakalanya tidak suka berada dlm suasana perbincangan terlalu serius di rumah yang dianggapnya tempat merasa rehat dan bertenang. Tidak mahu ia menjadi seperti pejabat. Dia akan mendengar cuma tidak mahu dianggap seperti meeting rasmi di pejabat.

RUNGUTAN 4

ISTERI : Dia langsung tidak lagi sedar penampilanku, adakah melampau untuk aku harapkan penghargaan sekali sekala terutama di hari istimewa.

SUAMI : Berapa banyak kali penghargaan yang diperlukan, setiap hari 5 kali kah? Mengapa dia tersangat emosi dalam hal ini.?

YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Wanita tidak seperti lelaki yang cukup dengan hanya sekali pujian, khususnya berkaitan penampilan dirinya. Lebih kerap mereka dipuji, lebih terasa mereka berharga di mata suami.

· Sentiasa ringankan mulut memuji. Adalah difahami salah satu tabiat lelaki bosan mengulangi pujian kepada perkara yang telah diperolehinya (namun sebelum memperolehinya, dia memang pemurah dengan puji-pujian).

· Justeru bagi mengelakkan kebosanan menjengah, pelbagaikan cara, sama ada pujian & penghargaan melalui tulisan, rakaman, sentuhan dan hadiah.

· Isteri memang emosi bab ini, kerana sifat wanita akan merasa terancam dan bimbang apabila si suami sering didedahkan dengan wanita di luar rumah dan di TV yang dirasakan melebihi penampilan dirinya. Justeru, penghargaan lelaki adalah perlu baginya untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.



WANITA FAHAM

· Suami biasanya memang kerap memuji isteri tetapi pujiannya kerap di dalam hati tanpa suara dan lafaz. Namun jangan dianggap tiada lafaz itu bermakna tiada penghargaan.

· Tanda penghargaan suami adalah tungkus lumusnya bekerja mencari nafqah dan menyediakan keperluan zahir dan batin isteri.

· Sebahagian dari tabiat suami adalah menganggap nafqah pujian, penghargaan sebagai sampingan. Fahami sikap mereka itu nescaya stress boleh dikurangkan.

· Jangan bimbang, tidak semua suami melihat penampilan dan tubuh sebagai aset penting isteri. Justeru, jika merasakan diri 'kurang perform' di bahagian itu, tingkatkan prestasi di bidang lain yang boleh dihargai oleh suami.

PENUTUP

Demikian serba ringkas, saya tidaklah berani untuk mengatakan semua wanita dan lelaki berciri sebegitu, namun saya kira sebahagian besar sifat dan tabi'at suami dan isteri adalah seperti yang saya tuliskan di atas. Semoga bermanfaat dan digalakkan bagi sesiapa yang punyai idea tersendiri untuk mengoretkan cadangan bernas anda di ruangan komentar, semoga ia mampu menambah manfaat artikel ini.



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Monday, June 7, 2010

Lahirnya putera Tantawi


Alhamdulillah segala puja dan puji selayaknya milik Allah Yang Maha Pengasih. Dalam kesibukan mahasiswa dan mahasiswi menghadapi peperiksaan, seorang lagi putera Tanta dilahirkan secara normal pada hari semalam, Isnin, 7 Jun 2010.

Anak kedua bagi pasangan Ustaz Mohamad Norhafeez b Mohamad Basir dan Siti Noorul Aini bt Mohamad Samsudin yang beratnya 3.5 kilogram selamat lahir pada jam 10.40 pagi di Hospital Roslan, Istad, Tanta. Ini merupakan kelahiran pertama di Hospital Roslan kerana kebiasaannya anak mutazawwijin lahir di Hospital Tibbah.

Pihak UBMT mengucapkan tahniah dan semoga putera yang dilahirkan menambah penyeri mereka sekeluarga serta menjadi pejuang agama pada masa akan datang. Insya Allah.